CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Jan 13, 2013

Terima Kasih ALLAH kerana selalu, dan terlalu PEMURAH !


سلام الله عليكم

Sungguh, sangat lama tidak mengarang di sini.
Kasihan blog.

Ana teringat sebuah kisah yang ana pernah dengar di radio IKIM.fm.
Dan ana pernah menulisnya di akaun facebook.

Sekitar begini ceritanya,

Seorang lelaki miskin baru pulang dari memancing.
Di tangannya seekor ikan yang baru dipancing, bersama 4-5 orang anaknya yang membontoti.
Dia melepasi sebuah restoran, dan kebetulan sebuah kereta mewah berhenti.
Turun dari kereta tersebut seorang lelaki kaya yang segak bergaya bersama isterinya yang cantik menawan.

Hati si lelaki miskin terdetik, " Bahagianya lelaki itu. Berkereta mewah. Beristeri cantik. Makan di restoran mahal. Berpakaian kemas. Sedangkan aku harus memancing untuk mencari makan. Bersusah payah. Dengan isteri yang tidak terurus tambahan anak ramai yang kusut masai. Tidak berkereta dan tidak mampu makan di restoran mahal. "

Kebetulan si lelaki kaya yang melihat lelaki miskin tadi bermonolog, " Untungnya lelaki itu, boleh pergi memancing. Wah, mesti isterinya boleh memasak ikan asam pedas. Sedangkan isteriku tidak mahu memasak, khuatir tangannya tidak cantik. Harus makan di sini. Dia punya anak yang ramai, sedangkan aku tidak punya anak. Untung, untung.. "

Dan kisah ini terus-terusan membayangi setiap hari ana.

Beginilah jiwa hamba yang tidak pernah puas mengecapi keselesaan.
Yang tidak pernah bersyukur dan berterima kasih.
Yang tidak pernah rasa cukup.

Dan, ana diantara mereka.
Dan, kita selalu berada diantara mereka.

Duhai jiwa, jangan tamak !
Jangan salah menilai erti nikmat dan rezeqi !

Alhamdulillah untuk mata kita yang tidak bulat, atau terlebih bulat bentuknya.
Sekurang-kurangnya kita punya mata dan mampu melihat dari mereka yang diberi mata tetapi buta.

Alhamdulillah untuk telinga kita yang kecil mahupun besar, sesungguhnya ada lagi manusia yang diberi ALLAH telinga tetapi tidak punya nikmat untuk mendengar.

Alhamdulillah kerana kita punya mulut yang mampu berkata-kata,
kerana ada insan yang kurang bernasib baik memiliki mulut tetapi tidak punya suara.
Dan mereka tidak mampu berkomunikasi kecuali dengan gaya tangan yang tidak semua manusia mampu memahami mereka.

Alhamdulillah kerana kita punya tangan yang mampu menyelesaikan urusan harian, kerana ada diantara kita yang tangannya tidak sempurna.

Alhamdulillah kita punya kaki walaupun keupayaan kita tidak sama.
Ketahuilah bahawa ada manusia yang tidak punya kaki bahkan ada yang memiliki kaki tetapi tidak boleh berfungsi.

Duhai jiwa, belajarlah bersyukur. Sesungguhnya setiap nikmat yang ALLAH beri punya nilai dan kualiti.

Sesungguhnya mereka yang tidak tahu bersyukur atas perkara yang kecil, tidak akan pernah tahu bersyukur untuk perkara yang besar.

Ibu bapa dan keluarga yang menyayangi itu rezeqi.
Peluang berbuat amal adalah rezeqi.
Kehidupan yang baik adalah rezeqi.
Ketenangan hati adalah rezeqi.
Khusyu' juga rezeqi.

Maka kenapa kita suka menyempitkan definisi rezeqi?


Sahabat-sahabat yang baik dan soleh itu nikmat.
Kemudahan dalam berurusan adalah nikmat.
Nikmat dan rezeqi merata-rata.
Tidak terkira. Bahkan tidak akan pernah mampu dikira.

Tetapi kenapa kita ini masih mahu mengira yang tiada?
Menanti yang tiada?

اللهم إنا نعوذبك من قلب لا يخشع
ومن دعاء لا يسمع
ومن نفس لا تشبع
ومن علم لا ينفع
ونعوذبك من هرلاء الأربع


Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu dari hati yang tidak khusyu' ( tunduk & menyerah )
dari doa yang tidak didengari
dari jiwa yang tidak pernah berasa cukup
dari ilmu yang tidak bermanfaat
kami berlindung dengan-Mu Ya Allah dari keempat-empat perkara ini

Ya ALLAH, semoga Engkau mengampunkan kami di atas setiap keluhan,
setiap kesedihan,
setiap tangisan,
setiap kekecewaan,
setiap ketamakan,
setiap kejahatan hati dan jiwa, sesungguhnya kami hamba, yang penuh kekurangan, keaiban dan keburukan,
sedangkan Engkau duhai Tuhan yang Maha Kaya dengan kesempurnaan.

Patutlah ALLAH mengulang soalan sebanyak 31 kali di dalam surah ke 55 di dalam kitab-Nya yang mulia.
Supaya manusia yang berakal menggunakan akalnya untuk berfikir dan mengambil i'tibar.

" Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? " ( Ar-Rahman )

اللهم أعنا على ذكرك
وشكرك وحسن عبادتك


Ya ALLAH, bantulah kami dalam usaha kami mengingati-Mu
dan bersyukur kepada-Mu dan dalam usaha kami untuk beribadah dengan baik kepada-Mu.

Perkenanlah duhai ALLAH yang Maha Penyantun !
Ameen !

Mari bersyukur atas ke semua nikmat dan rezeqi yang ALLAH beri !
الحمدلله على كل نعمة

Terima Kasih ALLAH kerana selalu, dan terlalu PEMURAH!


Al-Faqeerah Nony Imtiyaz,
2.15 am @ 14 Januari 2013
Mahallah Ruqayyah, UIAM
Kuala Lumpur.



0 comments: