Bismillah. Rupanya ana masih belum menulis satu entri pun pada tahun ini. MasyaALLAH.
Ia mungkin petanda kesibukan yang melampau, atau mungkin juga sebagai petanda aras kepada sebuah kemalasan yang berganda.
Sebenarnya, setiap hari berusaha mencari masa untuk menulis dan mengupdate blog. Tetapi sungguh ia sebuah percubaan yang sia-sia. Terlalu ke sini ke sana menunaikan tugas sehingga perancangan masih tetap menjadi perancangan.
Tetapi malam ini, sepertinya mahu sangat menulis. Bukan mahu membuka pekung di dada, tetapi sungguh jiwa ini sebak melihat hidayah ALLAH yang tanpa mengira masa dan siapa.
UMRAH
Tatkala ana diberi peluang ALLAH menjadi tetamu istimewaNya, ana masih kecil. Kerdil. Masih tidak baligh dan sungguh jahil. Ia pengalaman paling manis 14 tahun lepas. Hadiah dari seorang abang kerana adik bongsu ini mendapat 4A 1B dalam UPSR.
Alhamdulillah. Tetapi masih mampu ana katakan bahawa, jahilnya ana ketika menunaikan umrah pada 1998 masih tidak 'melampau' tahapnya. Jahil sebagai kanak-kanak, apala sangat...
Esok, kazen ana, bersama suami dan satu-satunya anak perempuannya akan berlepas ke Tanah Haram. Untung, di jemput ALLAH menjadi tetamu. Ada yang tidak mampu tapi berkeinginan. Ada yang mampu tapi tidak berperasaan.
Sebenarnya, yang membuatkan ana terlalu sebak dan sujud syukur, pilihan, keputusan dan pemergian mereka sungguh buat ana sekeluarga dan kerabat agak terkejut dan terkesima.
Mereka yang pernah bermukim di kota London suatu masa dahulu, hingga pulang menetap di Malaysia tidak pernah mengubah cara hidup. Cara hidup yang sepatutnya sebagai Muslim. Ya, sebagai muslim.
Sungguhpun kazen ana bertudung, dan menunaikan solat, tetapi ia tidak mampu menjadi satu tarikan kepada ahli keluarganya. Dan, sudah tentulah, cara berhijab yang dikenakan juga tidak lengkap.
Sejak suaminya jatuh sakit, mereka ibaratnya baru mengenali agama yang telah mereka pinggirkan. Semakin kerap bertandang ke surau. Semakin kerap menjemput ustaz mengajar mereka belajar membaca Al-Quran. Semakin sedar dan semakin insaf.
Kalau dahulu, ana kerapkali mencari alasan untuk tidak pulang menghabiskan masa bersama mereka di hujung minggu, dek kerana tidak selesa dan kurang gemar. Ana tidak mampu menjadi teladan yang baik malah ana juga risau ana bertambah lalai.
Namun kebelakangan ini, ana semakin lembut hati untuk pulang menjenguk. Malah rasa dekat walaupun Shah Alam memang jauh dari Gombak!
KEAZAMAN
Ketahuilah bahawa, ALLAH berhak memilih sesiapa sahaja untuk menjadi tetamuNya. Berhak memilih sesiapa sahaja untuk ditemukan 'jalan pulang'. Berhak memilih sesiapa sahaja untuk berjalan dengan putaran kehidupan yang serba baru.
Kazen ana semakin melabuhkan hijab. Suaminya walaupun sakit dan terpaksa berulang alik membuat rawatan, tetap tekad dan semangat untuk menunaikan umrah. Walaupun harus solat dalam keadaan duduk. Walaupun tidak mampu bergerak seperti orang yang sihat dan sempurna.
Dan, anak perempuan yang terlalu jauh dari gelaran 'muslimah' turut beria! Sudah mula mengenali hijab. Sudah mula kenal ruku' sujud. Dan azam mahu faham Al-Quran sepulang dari Mekah dengan belajar Bahasa Arab!
Bukankah hidayah itu milik ALLAH?
Maka ana amat tidak layak untuk terkejut.
Untuk terkesima.
Untuk kaget.
Malah sepatutnya ana tumpang gembira.
Tumpang berbangga.
Tumpang berdoa, semoga perubahan ini berkekalan dan permulaan kepada sebuah pengakhiran kehidupan yang serba cantik! :)
Setibanya azan maghrib berkumandang tadi, kazen ana bersegera bertanya ana, " Cik boleh solat? Jom solat jemaah dengan bapak ( bapak ana ). "
Sungguh, untaian air mata menjawab segala nikmat, syukur ya ALLAH!
Tersembunyi cemburu di hati, ALLAH..cepat-cepatlah jemput saya pula ke sana menjadi tetamu..
RINDU...
لبيك اللهم لبيك
لبيك لا شريك لك لبيك
إن الحمد والنعمة لك والملك
لا شريك لك
Shah Alam 1117pm
Mar 11, 2012
Cepat-cepatlah jemput saya pula ke sana menjadi tetamu..
Posted by Nony Imtiyaz at Sunday, March 11, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment